Monday, May 4, 2009

Pemuda Umno umum perubahan strategik tarik golongan muda

Pemuda Umno semalam mengumumkan perubahan strategik berteraskan lima rukun bagi menarik golongan muda tanpa mengira kaum dan agama menyokong Barisan Nasional (BN) sehingga membawa kemenangan pada pilihan raya umum akan datang. Pada masa yang sama, Ketuanya, Khairy Jamaluddin, turut mengumumkan penubuhan 28 biro, sekretariat dan unit, termasuk lapan daripadanya yang baru diwujudkan bagi mencapai hasrat lima rukun itu. "Saya ingin mengumumkan yang misi kita untuk melihat golongan muda tanpa mengira latar belakang kaum dan agama menyokong perjuangan kita. Kepemimpinan Pemuda hari ini untuk semua generasi muda. Ini adalah satu pendekatan terbaru dan terbuka.
"Perubahan ini adalah selaras dengan pendekatan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, bagi merealisasikan 1Malaysia," katanya dalam sidang media selepas berakhirnya Majlis Khemah Kerja Perdana Pemuda Umno di Janda Baik, dekat sini, semalam. Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengadakan sesi dialog dengan Pemuda sebelum menutup khemah kerja yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu. Kelmarin, Najib turut melawat khemah kerja itu dan mengadakan sesi dialog dengan sayap kanan Umno itu.
Lima rukun yang diperkenalkan itu adalah Pemuda berprinsip; 'inclusive' (merangkumi semua); proaktif; relevan dan bersatu. Daripada 28 biro, sekretariat dan unit yang ditubuhkan, Khairy mewujudkan lapan yang baru iaitu Sekretariat Hal Ehwal Bandar; Profesional Muda; Pekerja Muda; Perhubungan Kerajaan; Pemuda BN dan Satu Malaysia; Unit Pidato dan Penghujahan Umum; Media Baru dan Perang Saraf. Khairy berkata, Pemuda berprinsip bermakna Pemuda tetap berpegang teguh kepada perjuangan asas Umno, agama, bangsa dan negara serta mempertahankan perlembagaan, rukun negara, kontrak sosial dan perkongsian kuasa. "Pemuda 'inclusive' adalah dengan memberi fokus kepada usaha bukan saja pada ahli Umno tetapi juga generasi muda tanpa mengira kaum yang tidak berparti dan tidak menyokong kita," katanya.
Beliau berkata, Pemuda yang proaktif bermaksud tidak perlu menunggu sebarang arahan untuk menyelesaikan masalah dan ia perlu dilakukan dengan pantas dan berkesan sebelum ia menjadi krisis yang besar. Katanya, bagi menjadikan Pemuda relevan, semua programnya diubahsuai mengikut cita rasa golongan muda dengan menggunakan saluran komunikasi seperti media baru, facebook dan lain-lain. "Dan yang terakhir (rukun kelima) adalah Pemuda yang bersatu. Pemuda tidak boleh berpuak-puak dan terikut-ikut dengan politik pecah belah kerana ia akan menggagalkan usaha BN untuk memenangi pilihan raya umum akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment